Sri Pahang berdepan ranjau untuk mengekalkan momentum kemenangan apabila pengendalinya, Datuk Dollah Salleh, mengesahkan tiga tonggak utama dihimpit kecederaan.

Jurulatih sementara skuad Pantai Timur itu diulit resah menjelang pertemuan menentang Melaka United di Stadium Hang Jebat, malam esok, sambil mengakui kehandalan Melaka.

"Kami harap dapat mengekalkan momentum tapi begitu juga berlaku ke atas pasukan Melaka sejak diambil alih oleh Asri Ninggal.

"Kami juga tahu kekuatan Melaka yang diperkuatkan oleh Emmanuel Oti, Ifedayo (Olesegun) dan Sony Norde.

"Perlawanan ini dianggap sebagai sukar, kami mahu teruskan rentak tiga perlawanan terakhir dan pastikan kembali nama besar Sri Pahang selepas menurun dalam beberapa tahun ini.

"Harap-harap dapat kembali semula.




"Muslim (Ahmad), Nicholas Swirad dan Baqiyuddin (Shamsudin) tidak berlatih semalam dan pagi tadi (situasi) Muslim dan Baqiuddin nampak meningkat banyak untuk boleh kembali berlatih (petang tadi).

"Cuma Swirad belum lagi (pulih) sebab semalam dia masih mengadu kesakitan ketika berlari," katanya ketika ditemu bual wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, hari ini.



Walaupun berwaspada dengan kekuatan jentera serangan lawan, beberapa nama sudah bermain dalam fikiran Dollah bagi memastikan pintu gol mereka terus kebal dalam tiga perlawanan lalu sekalipun terpaksa mengetengahkan tonggak muda.

"Setakat ini tiada masalah, ramai pemain muda kami yang bawa dalam pasukan ini dan mereka nampak matang.

"Jadi kami tidak khuatir di situ," katanya.

Kredit imej: OfficialSriPahang