Ketua jurulatih Pahang, Dollah Salleh, tidak mahu anak buahnya melengah-lengahkan hasrat untuk mencari bekalan gol selesa ke atas Perak dalam separuh akhir pertama Piala FA di Stadium Darul Makmur, malam ini.

Baginya, dia tidak mahu lebih kecewa selepas kecederaan yang membelenggu pemainnya menjadi punca mengapa skuad Tok Gajah itu ketinggalan jauh di berlakang pendahulu, Johor Darul Ta'zim (JDT), dalam saingan Liga Super.

Bekas jurulatih kebangsaan itu mahukan anak buahnya tampil lebih segar dalam perlawanan pertama di Kuantan dengan aksi 90 minit pertama itu perlu disudahkan dengan kemenangan selesa.

"Kami bukan hendak menebus.

"Sebenarnya, Piala FA sudah berada dalam genggaman kami, cuma kami mahu mengekalkannya.

"Jadi, saya berharap kami dapat mengekalkannya.

"Bagi saya, daripada segi prestasi, kami masih berada di tahap terbaik," katanya.

Penyerang import baru, Lazarus Kaimbi, dianggap sudah lulus ujiannya selepas mempamerkan aksi memuaskan dalam saingan liga.

Gandingannya bersama Dickson Nwakaeme dijangka akan mencetus sengsara buat Perak.

"Saya nampak peningkatannya.

"Jadi, itulah yang saya harapkan daripadanya.

"Saya harap dia dapat memberikan yang lebih baik malam ini.

"Begitu juga dengan Dickson yang sudah hampir sebulan mengalami kecederaan paha.

"Dalam tempoh sebulan ini, peningkatan daripada segi kecergasannya boleh dikatakan banyak," tambahnya.