Juara bertahan, Pahang, dikerah bekerja keras sebelum melakar kemenangan tipis 1-0 ke atas UKM FC hasil jaringan Matthew Davies dalam aksi pusingan ketiga Piala FA di Stadium KLFA, Cheras, malam tadi.

Pahang tidak memandang mudah cabaran UKM FC apabila mereka tetap menurunkan kesebelasan utama bagi meneruskan misi mempertahankan kejuaraan.

Skuad kendalian Dollah Salleh itu, bagaimanapun, bergelut untuk merobek gawang UKM setelah lawan menampilkan pendekatan taktikal bertahan dalam pertemuan berkenaan.

Peluang terbaik skuad Tok Gajah untuk membuka jaringan hadir pada minit ke-53, namun sepakan gunting penyerang Ze Eduardo sekadar menggegar palang.

Perlawanan kemudian menyaksikan UKM lebih banyak berkampung di kubu sendiri untuk membendung asakan bertali arus Pahang.

Begitupun, ia hanya bertahan sehingga minit ke-84 apabila Pahang akhirnya meraih gol menerusi Davies susulan berlaku salah faham antara benteng akhir UKM.

Dan jaringan itu ternyata sudah memadai buat Pahang untuk memastikan kemenangan 1-0, sekali gus melangkah ke peringkat suku akhir.

"Apa yang saya boleh katakan barisan pemain telah mengikut arahan yang saya berikan, cuma sedikit kelekaan kerana pemain yang masuk tidak melakukan tugas yang saya amanahkan," kata jurulatih UKM, Sulaiman Hussin.

"Memang saya jangka perlawanan semalam memang sukar. Dalam Piala FA, macam-macam perkara boleh berlaku," kata Dollah pula.