Ketua jurulatih Sri Pahang FC, Dollah Salleh, lega apabila pasukannya kekal berada dalam saingan Liga Super musim depan biarpun tewas 1-2 kepada Penang FC di Stadium Darul Makmur semalam.

Tok Gajah terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Kenny Athiu dalam babak kedua tetapi Penang kendalian Tomas Trucha kemudian menghasilkan dua gol dalam tempoh lima minit melalui sentuhan Endrick Dos Santos dan Danial Ashraf Abdullah.

Biarpun tewas, Dollah mengambil sesuatu yang positif daripada perlawanan itu memandangkan pasukannya kini sudah sah terselamat daripada penyingkiran berbekalkan 18 mata dan berkelebihan lima mata di depan Perak FC menjelang aksi terakhir liga hujung minggu ini.

Dollah mengakui baru menemui ramuan yang diperlukannya sejak kembali mengambil alih pasukan itu daripada Thomas Dooley pada 13 Mac lalu.

Bagaimanapun, jurulatih berusia 57 tahun itu menganggap tugasnya untuk mengekalkan Sri Pahang dalam Liga Super sudah terlaksana dan mempunyai perancangan terbaik bagi mempersiapkan pasukan itu menghadapai saingan Piala Malaysia, yang dijangka bermula hujung bulan ini.

Menjelang aksi liga terakhir menentang pasukan di tangga tercorot, UiTM FC, hujung minggu ini, Dollah berkata dalam sidang media: "Ia memang dalam perancangan saya. Selepas sekian lama kami tidak dapat menurunkan pasukan terbaik, malam ini (semalam) kami dapat melakukannya dan mereka (pemain) sudah menunjukkannya (aksi terbaik) walaupun kami tidak mendapatkan kemenangan.

"Jadi, saya mahu mereka menunjukkan lebih keserasian dalam perlawanan terakhir.

"Keserasian itu kemudian akan menjadi bekalan dalam saingan Piala Malaysia," katanya.