Dollah Salleh menjadi inspirasi kepada pemain tengah, Joseph Kalang Tie, susulan peningkatan prestasi mendadaknya bersama Pahang musim ini.

Selepas tenggelam ketika bersama Terengganu musim lalu, Joseph akhirnya menemui sentuhan berbisanya bersama Tok Gajah.

Selain membantu jaringan pertama Pahang menerusi umpanan kepada Afif Amiruddin, gerakan Kalang Tie sering kali menimbulkan banyak masalah kepada pertahanan PKNS FC dalam kemenangan 3-0, malam tadi.

Dia mengakui dorongan yang diberikan Dollah menjadikan dia seorang pemain berbeza musim ini.

"Dia sering berpesan supaya saya perlu banyak berubah memandangkan Pahang mempunyai ramai pemain berkualiti.

"Jadi, saya dituntut supaya lebih berkualiti daripada mereka.

"Saya perlu mengubah corak permainan saya kerana bola sepak moden hari ini adalah pantas," kata pemain berasal dari Sarawak itu.

Sementara itu, ketua pasukan Sang Semut Merah, Gonzalo Soto, berasakan sepakan penalti yang diterima tuan rumah merencatkan moral mereka.

Jika tidak, dia yakin PKNS masih mampu memberi saingan sehingga penghujung perlawanan.

"Gol pertama mereka hasil daripada sepakan penjuru membuatkan kami hilang punca, manakala gol kedua mereka daripada sepakan penalti pula menentukan perlawanan ini," katanya.

Dalam pada itu, sedikit kekecohan terjadi pada penghujung permainan ekoran bentesan keras Kiko Insa terhadap Safee Sali, namun tiada sebarang kad dikeluarkan oleh pengadil, Suhaizi Shukri.