Pahang memulakan aksi pertama musim ini dengan kemenangan bergaya 3-1 ke atas Kuala Lumpur di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Dengan Pahang berkelebihan daripada segi tenaga pemain luar, aksi malam tadi ternyata milik skuad kendalian Dollah Salleh itu.

Buktinya, mereka membuka tirai jaringan menerusi Saddil Ramdani pada minit ke-23 untuk Tok Gajah terus menguasai permainan.

Bagaimanapun, memasuki babak kedua, anak buah Yusry Che Lah tidak menyerah mudah.

Afiq Ahmad Razaki berada di kedudukan terbaik untuk meledak jaringan penyamaan pada minit ke-48 tetapi keadaan itu tidak lama apabila Dickson Nwakaeme kembali meletakkan Pahang untuk memimpin permainan pada minit ke-52.

Jaringan kedua Nwakwaeme pada masa kecederaan menyumbang kepada kedudukan selesa buat Pahang untuk mengutip tiga mata pertama.

"Apa yang dipamerkan kami malam ini (tadi) adalah aksi yang terbaik sejak kami mengharungi pra-musim.

"Cuma kami ketandusan untuk mendapatkan lebih gol sahaja," kata Dollah.

Rakan sejawatannya di Kuala Lumpur, Yusri, pula menyimpulkan: "Jurang di antara Pahang dan Kuala Lumpur adalah cukup besar.

"Kami akui sepanjang 90 mini, kami berterusan diasak biarpun pada awal separuh masa kedua, kami cuba memberikan saingan dengan mendapatkan gol penyamaan."