Jurulatih sementara Sri Pahang, Datuk Dollah Salleh, mengakui terpaksa mengambil risiko besar ketika memastikan kebangkitan skuad Tok Gajah dalam aksi dramatik di Stadium Hang Jebat, malam tadi.

Barisannya mencetak dua gol dalam tempoh tiga minit terakhir perlawanan untuk mengikat Melaka United 2-2 menerusi dua pemain gantian, David Rowley dan Sharul Nizam Nadzir.

"Tonggak utama kami, Nor Azam Azih dan Kevin Ingreso, nampak agak goyah di bahagian tengah.

"Barisan kejurulatihan bincang dan kami perjudikan nasib (memutuskan) untuk memasukkan kaki segar, di situ ada perubahan," kata pengendali itu dalam perkongsian lanjut bersama wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.

Sementara itu, Sharul Nizam bersyukur apabila merekodkan gol pertamanya dalam Liga Super.

"Saya berterima kasih kepada Dollah dan pegawai jurulatih yang berikan peluang dan saya tidak sia-siakannya," katanya selepas perlawanan.

Rowley yang turut memainkan peranan sebagai pemain gantian ketika bertemu Petaling Jaya (PJ) City menggambarkan keputusan seri ini sebagai bukti keupayaan dan semangat berpasukan Tok Gajah hingga wisel penamat biarpun rentak tiga kemenangan berturut-turut berakhir.

"Memang mengagumkan dapat bangkit dan meraih keputusan.




"Pertukaran yang dibuat juga memerlukan tuah. (Kejayaan) ini hasil usaha hebat sepasukan," katanya pula.

Sementara itu, ketua jurulatih Melaka, Asri Ninggal, menganggap kegagalan pemainnya mempertahankan kelebihan disebabkan mula hilang punca pada lewat perlawanan.

"Ketika kami mempamerkan corak permainan sendiri, kami dapat menguasai permainan.

"Tetapi disebabkan kelekaan dan pertukaran pemain yang keletihan, kami tidak fokus seperti tidak mengeluarkan bola dengan sepatutnya.

"Kesilapan-kesilapan mudah menghukum kami," katanya.