Jurulatih Pahang, Dollah Salleh, kecewa dengan anak buahnya yang gagal beraksi pada tahap terbaik, terutama ketika separuh masa pertama, yang mengakibatkan Pahang gagal meraih tiga mata penting malam tadi.

‘Pemain saya hanya bernafsu untuk mencetak jaringan 10 minit sebelum tamat perlawanan," itu reaksi Dollah sebaik bertemu media selepas tamat perlawanan yang membawa kepada keputusan seri 2-2 ketika berdepan Selangor di Stadium Darulmakmur.

Kekecewaan Dollah terarah kepada aksi serba tidak menjadi pemainnya, terutama membabitkan watak penting yang sepatutnya cemerlang mencipta jaringan, antaranya Mohamadou
Sumareh, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria dan Matheus Alves Leandro.

"Pahang gagal mendapatkan rentak di awal permainan kerana gagal mencari ruang untuk menghasilkan gerakan ketika menyerang," kata Dollah.

Sementara itu, jurulatih Selangor, P. Maniam, pula lega sasaran untuk meraih satu mata berjaya direalisasikan ketika Selangor memiliki potensi terbaik untuk membawa
pulang mata penuh.

Tegas Maniam, beliau tidak perlu kecewa dengan keputusan malam tadi ketika anak buahnya berjaya menyempurnakan sasaran di Kuantan.

Maniam turut melabelkan pertahanan importnya, Ugo Ukah sebagai kunci utama Selangor yang membawa kepada kejayaan menafikan tiga mata pasukan tuan rumah , Pahang

"Setiap pemain telah memberikan yang terbaik, saya memberikan pujian kepada pertahan Ugo yang tampil sebagai pemain terbaik Selangor untuk pertemuan ini," jelas Maniam.