Pahang mara ke final Piala FA, Sabtu ini, selepas menewaskan PKNP FC 2-1 dalam aksi separuh akhir kedua di Stadium Perak, malam tadi untuk layak 3-2 secara agregat.

PKNP turun dengan misi mempertahankan jaringan di tempat lawan dalam aksi pertama selain menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri manakala Tok Gajah pula mahu mencari gol pendahuluan bagi menambah keyakinan kepada pasukan.

Babak pertama menyaksikan kedua-dua pasukan memiliki peluang untuk membuka tirai jaringan.

Bagaimanapun, Pahang yang terlebih dulu menemui sasaran menerusi Austin Amutu pada minit ke-32.

Pahang memiliki satu lagi peluang pada minit ke-40, namun Norshahrul Idlan Talaha gagal menyudahkan umpanan Issey Nakajima-Farran.

PKNP mula menggandakan asakan sebaik permainan bersambung dan beberapa kali mencemaskan benteng Pahang.

Kegagalan PKNP mencipta jaringan akhirnya dihukum pelawat apabila Nnorshahrul merakamkan gol kedua perlawanan pada minit ke-76.

PKNP kemudian dihadiahkan sepakan penalti apabila Safuwan Baharudin tersentuh bola dengan tangan dalam kawasan penalti ketika permainan bersisa sembilan minit dan tenang disudahkan Franklin Anzite.



"Saya menasihati pemain untuk mendapatkan gol awal.

"Ini kerana saya khuatir dengan pendekatan melengah-lengahkan permainan oleh PKNP

"Alhamdulillah kami dapat menjaringkan gol yang mendorong permainan berdisiplin," ujar ketua jurulatih Pahang, Dollah Salleh.

Rakan sejawatannya di PKNP, Abu Bakar Fadzim, pula berkata: "Yang pertama, (kekalahan PKNP adalah) pemain saya sedikit gugup kerana ini mungkin pengalaman pertama mereka (bermain di peringkat separuh akhir).

"Yang kedua, mereka tahu kekuatan Pahang sehingga terlalu menghormati lawan, terutama pada babak kedua."