Dollah akui persiapan Pahang tidak begitu baik

Muzaffar Musa
Februari 29, 2020 09:40 MYT
Ketua jurulatih Pahang, Dollah Salleh, mengakui persediaan pasukannya sepanjang 12 minggu lalu tidak berlangsung baik.
Tanpa berselindung, pengendali itu mengakui Pahang tidak melalui persediaan sempurna selepas kehilangan tonggak utama seperti Safuwan Baharudin dan Matthew Davies.
Bagaimanapun, dia tidak mahu terlalu mudah mengaku kalah dan berharap anak buahnya mampu melakar kejutan ke atas Selangor dalam perlawanan pembukaan Liga Super di Stadium Darul Makmur malam ini.
"Walaupun Pahang agak lewat dalam menyediakan pasukan -- kami hanya dapat pemain import pada minit-minit akhir -- tetapi apa yang saya lihat, kami lebih mantap di bahagian pertahanan," katanya.
Bagi Dollah, perlawanan menentang Selangor itu begitu dekat dengan dirinya dan menganggap pertemuan berkenaan sebagai pertembungan tradisi sejak berdekad lalu.
"Pertemuan dengan Selangor memang hangat sejak dahulu lagi.
"Sejak akhir-akhir ini, kita dapat lihat banyak berita mengenai Selangor.
"Pemain-pemain yang tiba di Selangor juga merupakan nama-nama besar," tambahnya.
#Pahang #Dollah Salleh #Liga Super Malaysia #Selangor #Stadium Darul Makmur