Johan Djourou mengakui Switzerland berada dalam kumpulan yang sukar tetapi percaya segalanya boleh berlaku menjelang aksi menentang Brazil dalam aksi pertama Piala Dunia 2018.

Brazil menjadi salah satu pasukan pilihan untuk mengungguli kejohanan kali ini dan mereka tampil dengan barisan pemain hebat untuk menjulang trofi itu buat kali kelima, lebih-lebih lagi selepas dimalukan oleh Jerman dalam separuh akhir, empat tahun lalu.

Selain Brazil, Switzerland turut diletakkan dalam kumpulan yang sama dengan Serbia dan Costa Rica, namun Djourou yakin akan peluang pasukannya untuk melayakkan diri ke pusingan kedua.

Dalam masa sama, benteng Antalyaspor itu tetap menerima hakikat mengenai kemampuan yang dimiliki oleh Brazil sehingga bakal memberikan cabaran sukar buat mereka.

"Saya rasa apabila anda berpeluang untuk beraksi dalam Piala Dunia, anda hanya akan berasa seronok," ujar Djourou.

"Salah satu detik terbaik buat seorang pemain bola sepak adalah bermain di pentas Piala Dunia mewakili negara anda.

"Saya juga rasa Switzerland telah melakukan dengan baik sebelum ini tetapi saingan 2018 merupakan kumpulan yang sukar buat Switzerland. Brazil, Serbia dan Costa Rica tentunya bukan lawan yang mudah.

"Aksi pertama sudah pasti akan memainkan peranan utama dan kami akan bertemu Brazil, pasukan yang memiliki kemahiran hebat menerusi pemain seperti Neymar, Philippe Coutinho, Thiago Silva dan ramai lagi.

"Jadi, segalanya terserah kepada kami. Kami harus bersedia secukupnya dan walaupun kami berdepan salah satu pasukan terbaik di dunia, apa sahaja boleh berlaku dalam bola sepak," tambah Djourou.