Pengurus Lazio, Simone Inzaghi, tidak mahu mengkritik anak-anak buahnya selepas ditundukkan Salzburg 4-1 ketika aksi suku akhir kedua Liga Europa dalam aksi yang penuh dramatik pada awal pagi tadi.

Ciro Immobile membuka tirai jaringan untuk meneruskan pendahuluan Lazio daripada aksi pertama, namun jaringan daripada Munas Dabbur, Amadou Haidara, Hwang Hee-chan dan Stefan Lainer selepas itu melengkapkan kebangkitan Salzburg.

Bagaimanapun, Inzaghi percaya kekalahan itu menjadi pengalaman yang amat berguna untuk pasukannya.

"Kedua-dua pasukan mempunyai peluang yang sama banyak tetapi perbezaannya adalah mereka menjaringkan empat gol dan kami satu.

Kami belajar daripada situasi ini dan ia membantu untuk terus berkembang," kata Inzaghi.

"Tentunya ia menjadi laluan yang penuh emosi. Agak memalukan apabila tidak melayakkan diri ke separuh akhir walaupun peluang berada di depan mata.

"Saya tidak rasa kami terlalu bertahan pada hari ini. Kami memiliki peluang untuk menyumbat gol tetapi ia tidak cukup untuk mengatasi mereka.

"Saya amat yakin ini akan menjadi pemangkin utama buat seluruh pasukan untuk terus berkembang kerana harus diingat, kami dibarisi kebanyakan pemain muda yang beraksi dalam saingan Eropah yang pertama."