Mame Biram Diouf telah menandatangani kontrak baru bersama Stoke City yang menyaksikan pemain itu akan kekal sehingga 2020.

Kontrak bekas penyerang Manchester United itu akan berakhir hujung musim ini dan timbul persoalan sama adapemain itu akan terus kekal di bawah kendalian Mark Hughes.

Begitupun, Diouf -- yang telah beraksi dalam tiga daripada empat aksi Liga Perdana Inggeris musim ini -- bersetuju untuk kekal bersama The Potters.

Ketua Pegawai Eksekutif, Tony Scholes, berkata dalam satu kenyataan: "Kami mendapatkan khidmat Mame sebagai pemain penyerang tetapi dalam tempoh 12 bulan ini, dia telah membuktikan bahawa dia mampu beraksi dalam posisi berbeza.

"Dia merupakan pemain penting bagi skuad Mark, jadi kami teruja kerana dia kekal komited bersama kami."

Diouf telah membuat 99 penampilan sejak berhijrah daripada Hannover pada 2014.