Walaupun tidak dapat beraksi akibat penggantungan, pemain tengah T-Team, Dilshod Sherofetdinov, yakin rakan-rakan sepasukannya mampu mencatatkan keputusan positif dalam separuh akhir pertama Piala Malaysia menentang Selangor, Sabtu ini.

“Selain digantung, saya turut mengalami kecederaan pangkal paha ketika perlawanan liga yang lalu menentang Johor Darul Ta’zim (JDT).

“Kecederaan itu memakan masa hampir dua minggu untuk pulih dan saya berharap dapat beraksi dalam separuh akhir kedua nanti.

“Namun, saya percaya kemampuan rakan-rakan sepasukan yang lain untuk mengisi posisi tengah itu dan mencatatkan keputusan sekurang-kurangnya seri serta mendapat kelebihan gol di tempat lawan.

“Pasukan ini mempunyai pemain-pemain tengah yang berbakat seperti Asrol (Ibrahim), Badrol (Hisyam), Safawi (Rasid) dan ramai lagi.

“Sudah tentu kami mampu menewaskan Selangor kerana kami mempunyai kekuatan tersendiri dan berada pada prestasi terbaik walaupun tewas kepada JDT minggu lalu,” tambah pemain dari Uzbekistan itu.

Sementara itu, pemain kebangsaan, Muhammad Safawi, turut melaungkan keyakinan bahawa kejayaan untuk menewaskan Felda United dalam suku akhir dapat diulangi sekali lagi.

“Dibolosi lima kali ketika menentang JDT minggu lalu, ia sedikit memberikan kesan kepada kami, namun ini saingan yang berbeza dan semangat baru kepada pasukan.

“Jika kami berjaya mengunci pergerakan pemain-pemain Selangor seperti Andik (Vermansyah) dan Nazmi Faiz (Mansor), kami mampu untuk mencatat keputusan yang positif,” katanya.