Kurang sebulan saingan Liga Malaysia (Liga-M) bersambung, pasukan di Lembah Klang sekali lagi berdepan kesukaran untuk menjalani persiapan sempena pusingan kedua.

Arahan baru Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) minggu ini khususnya di Kuala Lumpur dan Selangor mendorong keseluruhan perancangan setiap pasukan terpaksa dirombak serta-merta di sebalik menjalani latihan dengan konsep gelembung sukan.

Pertengahan bulan lalu, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) memutuskan untuk menangguhkan saingan Liga Perdana yang dijadual bersambung pada 3 Julai ini ke suatu tarikh akan dimaklumkan dalam masa terdekat, manakala perjalanan baki Liga Super kekal pada 24 Julai depan.

Ketua jurulatih Kuala Lumpur City, Bojan Hodak, mengakui buntu untuk merencana percaturan terbaik buat anak buahnya berikutan penularan COVID-19 yang belum reda biarpun mungkin memilih memindahkan kem latihan mereka.

"Sejujurnya kami hanya membuat perancangan pada pagi tadi.

"Kami sudah merangka lima perlawanan persahabatan tetapi situasi sentiasa berubah.

"Jadi kami perlu meneliti sebarang kemungkinan yang boleh dilakukan.

"Mungkin bertemu pasukan di Lembah Klang walaupun tidak punya banyak pilihan.

"Mungkin kami pertimbangkan untuk keluar (dari Lembah Klang) tetapi hanya inilah pilihan yang ada," kata pengendali dari Croatia itu dalam Nadi Arena sebentar tadi.

Petaling Jaya City juga terkesan dan kesuntukan waktu untuk mengatur perlawanan pemanas badan bagi menghadapi baki sembilan perlawanan Liga Super.




"Tidak boleh main perlawanan persahabatan di Kuala Lumpur mahupun Selangor, ia memaksa kami membatalkan dua aksi ujian.

"Ia memang sangat sukar sebab kebanyakan pasukan sudah pun mengatur perlawanan ujian," kata jurulatih pasukan di kedudukan kelapan divisyen teratas itu, P. Maniam.

Skuad Projek FAM-MSN pula turut berdepan dilema tersendiri dalam kancah Liga Perdana, lebih-lebih bakal menggalas misi negara dalam Sukan SEA Hanoi, November depan.

"Kami dalam kem kuarantin, MSN (Majlis Sukan Negara) juga tidak membenarkan kami keluar kerana ia boleh (mempengaruhi) persiapan atlet yang akan Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang semakin hampir.

"Kami terpaksa ubah seluruh persiapan dengan mengadakan perlawanan bertemu sesama sendiri pada setiap minggu.

"Ia sedikit menggusar saya sebelum liga disambung," jelas ketua jurulatih, Yusri Che Lah.