Pengendali Johor Darul Ta'azim (JDT), Benjamin Mora, menyifatkan perlantikannya sebagai pengendali Harimau Selatan sebagai satu penghormatan, sekaligus bertekad meneruskan legasi Mario Gomez.

Satu tamparan hebat buat JDT apabila pengendali Mario Gomez meletak jawatan beberapa hari sebelum aksi Piala Sumbangsih menentang Kedah di Larkin dan beberapa jam selepas itu, kerusi itu diambil alih pengendali JDT II, Mora.

"Saya sangat berbangga menjadi sebahagian daripada pasukan ini untuk memimpin pemain menjadi yang terbaik di samping memastikan JDT kekal menjadi pasukan terbaik dalam Liga Malaysia," ujarnya.

Sementara itu, kapten JDT, Safiq Rahim, mahu rakan sepasukan mengekalkan fokus meskipun pasukan itu mengalami pertukaran jurulatih secara mengejut.

"Kami belum tahu secara khusus sebarang perancangan tetapi kami sebagai pemain perlu mengekalkan fokus dan komitmen di atas padang.

"Segala tugasan baru yang diberikan perlu dijalankan dengan baik," jelasnya.

Difahamkan, pertukaran jurulatih ini ada kaitan dengan isu taktikal pasukan, namun pengurusan JDT enggan mengulas lanjut mengenai perkara ini.

Sementara itu, pemerhati bola sepak negara, Hasnizam Uzir, melihat tradisi pertukaran jurulatih di kem JDT, terutama dalam isu Gomez, sebagai satu tamparan.

"Inilah tradisi JDT di mana setiap jurulatih tidak pernah berjaya menamatkan kontrak.

"Ini satu tamparan kepada pengurusan bola sepak Johor di mana ada kemungkinan setiap jurulatih yang mengambil alih JDT akan menerima nasib yang sama," katanya.

Bekas pemain Selangor, Asmawi Bakiri melihat Mora kini berdepan tugas berat untuk memeterai persefahaman dan kepercayaan bersama setiap pemain sepertimana yang telah dilaksanakan Mario Gomez.

"Benjamin Mora perlu mencari jalan terlebih dahulu bersama pemain untuk memastikan kejayaan JDT mampu berterusan," ujarnya.