Dikaitkan ke Liverpool, Alisson ucap terima kasih kepada penyokong Roma

Penulis Jemputan
Julai 18, 2018 23:52 MYT
Penjaga gol Brazil, Alisson, secara terbuka mengucapkan terima kasih kepada penyokong AS Roma selepas dijangka bakal melengkapkan perpindahan rekod dunia ke Liverpool.
Pemain berusia 25 tahun itu meninggalkan ibu negara Itali itu semalam tatkala dia semakin menghampiri penghijrahan bernilai GBP67 juta (RM355 juta) itu.
Nilai itu adalah dua kali ganda berbanding jumlah GBP35 juta (RM155 juta) yang dibelanjakan Manchester City untuk membawa masuk Ederson dari Benfica musim lalu, sekali gus menjadi bayaran tertinggi untuk seorang penjaga gol.
Liverpool serius untuk mencari penjaga gol yang baru bagi menggantikan tempat Loris Karius yang dilihat tidak begitu meyakinkan walaupun terma persendirian masih belum dipersetujui.
Bagaimanapun, Alisson tampak seperti memberi bayangan bahawa perpindahan semakin hampir buat dirinya sewaktu dihampiri wartawan ketika ditemui di lapangan terbang di Rome.
"Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada penyokong-penyokong Roma," katanya.
Alisson melakukan 49 penampilan dalam semua kejohanan buat Roma musim lalu, termasuk melangkah ke separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah sebelum tunduk di tangan Liverpool.
#Liverpool #Brazil #Liga Inggeris #AS Roma #Alisson