Diego Costa bakal beraksi di peringkat senior di Brazil buat julung kalinya selepas mencapai persetujuan untuk menandatangani kontrak dengan Atletico Mineiro.

Costa menjadi ejen bebas sejak Atletico Madrid bersetuju untuk menamatkan kontraknya di kelab itu.

Dia telah mencapai kesepakatan hingga Disember tahun depan untuk menyertai kelab yang bercita-cita tinggi untuk merebut gelaran domestik dan benua itu.

Selepas memulakan kariernya di Barcelona Capela, Costa tidak pernah beraksi secara profesional di peringkat kelab di negara kelahirannya itu. Dia pernah mewakili Brazil dalam dua perlawanan antarabangsa sebelum menukar kesetiaannya kepada Sepanyol.

Dia kini berpeluang untuk mengukir namanya bersama Atletico Mineiro yang unggul lima mata di tangga teratas Serie A Brazil selain akan menghadapi perlawanan suku akhir Copa Libertadores menentang River Plate.

Costa pernah mengecapi 10 kejayaan gelaran utama ketika di Atletico Madrid dan Chelsea, dua kali memenangi LaLiga dan Liga Perdana Inggeris (UCL) selain menjulang Copa del Rey, Liga Europa dan Piala Liga Inggeris (EFL).

Dia merakamkan 83 gol dalam 216 penampilan bersama Atleti dan membuktikan bahawa dia masih memiliki sentuhan berbisa biarpun jarang diturunkan musim lalu apabila mencatatkan dua gol dari lima percubaan.

Atletico Mineiro sudah pasti berharap taruhan baru itu mampu mengembalikan prestasi terbaiknya dan membantu mereka mencapai kejayaan.

Berbekal 1-0 dalam pertemuan pertama, mereka akan menjadi tuan rumah kepada River Plate dalam pusingan kedua suku akhir Copa Libertadores, pagi Khamis ini.