Aston Villa mengesahkan bahawa Diego Carlos mengalami kecederaan Achilles ketika menewaskan Everton 2-1 dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) hujung minggu lalu.

Pemain berusia 29 tahun itu, yang didatangkan dengan bayaran pendahuluan dilaporkan bernilai £26 juta (RM139.97 juta) pada Jun lalu, turun beraksi buat kali pertama di gelanggang sendiri.

Kedatangannya menjadi sesuatu yang signifikan buat pasukan bimbingan Steven Gerard itu dalam usaha untuk memperkuatkan bahagian pertahanan Villa selepas prestasi tidak memberangsangkan sepanjang musim lalu.

Bagaimanapun, pemain Brazil itu berkemungkinan besar tidak akan dapat beraksi lagi musim ini selepas Villa mengesahkan bahawa dia mengalami kecederaan Achilles serius pada penghujung perlawanan itu.

Kecederaan itu turut memusnahkan peluang pertahanan tengah itu -- yang juga merupakan pemenang pingat emas Sukan Olimpik Tokyo tahun lalu -- untuk mewakili Brazil dalam Piala Dunia Qatar 2022.

Kenyataan ringkas Villa tidak menyatakan bila pemain itu dijangka akan pulih dan hanya memaklumkan bahawa dia akan menjalani pembedahan sebelum memulakan program pemulihannya.