Penyerang Sevilla, Wissam Ben Yadder, mendedikasikan jaringannya ke atas Barcelona dalam saingan Copa del Rey awal pagi tadi sebagai tanda memperingati kehilangan Emiliano Sala.

Sala menaiki pesawat peribadi yang kemudian hilang berhampiran Pulau Channel, Isnin lalu.

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Perancis mengesahkan kehilangan itu dan usaha mencari dan menyelamat masih menemui jalan buntu.

Penyerang Sevilla, Ben Yadder, menjaringkan gol kedua ketika skuad kendalian Pablo Machin itu menundukkan Barcelona 2-0 dalam aksi suku akhir pertama Copa del Rey selepas Pablo Sarabia menjaringkan gol pembukaan tuan rumah.

Bekas penyerang Toulouse itu mendedikasikan jaringan itu terhadap kehilangan Sala dengan menunjukkan baju yang tertulis: "Kekuatan buat saudaraku".

Ben Yadder turut melakukan kiriman media sosial selepas perlawanan itu bagi merakamkan kesedihan terhadap kehilangan Sala.

"Sentiasa di hati dan doaku.

"Saya memikirkan kamu, Emi," tulisnya dalam laman Twitter.

Pihak Polis Guernsey akan memutuskan hari ini sama ada misi pencarian yang melibatkan Sala dan juruterbang, David Ibbotson, itu akan diteruskan atau tidak.