JUVENTUS 3 SASSUOLO 0

Dusan Vlahovic menjaringkan gol berganda untuk membantu Juventus meraih kemenangan 3-0 ke atas Sassuolo dalam perlawanan pembukaan Serie A mereka musim ini awal pagi tadi.

Penyerang Serbia itu menjaringkan satu gol dalam setiap babak untuk Bianconeri mengawal permainan selepas Angel di Maria menandakan penampilan pertamanya bersama Juve dengan gol pembukaan perlawanan di Stadium Allianz itu.

Pasukan bimbingan Massimiliano Allegri berkenaan bermula goyah dan membenarkan Sassuolo untuk menguji Mattia Perin dengan dua percubaan Gregoire Defrel.

Juventus kemudian mula mendapatkan rentak dan memecahkan kebuntuan apabila Di Maria menemui lintangan Alex Sandro sebelum melepaskan sepakan voli untuk menewaskan penjaga gol, Andrea Consigli.

Lima minit sebelum ke bilik persalinan, Vlahovic dijatuhkan Gian Marco Ferrari dalam kawasan penalti tuan rumah sebelum dia menyudahkan sepakan itu dengan penuh yakin untuk membuka akaun jaringannya musim ini.

Suassuolo sendiri menjadi arkitek kejatuhan mereka dalam babak kedua, di mana Kaan Ayhan terlepas bola kepada Di Maria, yang kemudian melakukan umpanan untuk Vlahovic menemui gol kedua peribadinya.

Juventus akan berehat selama seminggu sebelum bertemu Sampdoria bagi aksi berikutnya manakala Sassuolo pula akan berdepan Lecce hujung minggu ini.