Pengurus AS Roma, Eusebio di Francesco, menerima undian menentang Barcelona dengan hati terbuka dan gembira menjelang aksi suku akhir Liga Juara-Juara Eropah.

Skuad Giallorossi itu, yang meraih tempat dalam kelompok lapan pasukan terbaik dalam saingan tertinggi Eropah buat kali pertama dalam 10 tahun pada musim ini, telah diundi untuk berdepan anak-anak buah Ernesto Valverde itu.

Barca, juara edisi 2014/15, pula yang gagal ke separuh akhir sejak tahun tersebut pastinya serius untuk meraih kempen yang positif kali ini selepas menyingkirkan Chelsea dalam pusingan kedua.

Bagaimanapun, Di Francesco menyifatkan gergasi Catalan itu bukan satu-satunya pasukan yang perlu difikirkan walaupun sedar cabaran getir menanti di Camp Nou.

“Kami gembira dengan undian kerana berbangga dengan kejayaan melayakkan diri ke suku akhir,” kata Di Francesco.

“Kami sedar bakal berdepan salah satu pasukan terbaik di Eropah serta pemain terbaik dunia, Lionel Messi, tetapi menerimanya dengan nada positif. Walaupun ia pastinya memberikan laluan sukar, kedua-dua pasukan pasti mahu melayakkan diri ke peringkat seterusnya.”

Roma yang kini berada di tangga ketiga Serie A bakal bertandang ke Crotone dan Bologna sebelum berdepan gergasi Sepanyol itu dan Di Francesco tidak sabar untuk meneruskan prestasi terbaik selepas meraih enam kemenangan dalam lapan perlawanan kompetitif.

“Setiap perlawanan adalah penting tetapi kami akan berdepan Crotone terlebih dahulu, jadi saya minta pemain-pemain agar melupakan Barca buat seketika.

“Menjadi satu lumrah apabila mereka tidak sabar untuk beraksi dalam perlawanan besar di Eropah, namun kami harus melakukan yang terbaik berdepan Crotone kerana cabaran pasti sukar.”