Pemain tengah Itali, Lorenzo Pellegrini, memuji sikap cita-cita tinggi dan mewujudkan "semangat Itali" yang dibawa jurulatih sementara, Luigi Di Biagio, apabila dia mahu memburu tugas itu secara tetap.

Di Biagio dibawa masuk sebagai jurulatih sementara Itali pada awal Februari lalu berikutan pemecatan Gian Piero Ventura pada November lalu.

Ventura dipecat selepas Itali gagal melayakkan diri ke Piala Dunia, kali pertama mereka mengalami nasib itu selepas 1958.

Di Biagio mengendalikan perlawanan pertamanya menentang Argentina, Sabtu lalu, satu aksi yang berakhir dengan kekalahan 2-0 hasil jaringan Ever Banega dan Manuel Lanzini.

Antonio Conte kekal sebagai calon kegemaran ramai untuk mengambil tugas itu bagi jangka panjang, dengan kedudukannya di Chelsea kelihatan semakin tidak menentu, walaupun Pellegrini -- yang membuat penampilan ketiganya Sabtu lalu -- memuji personaliti Di Biagio dalam usaha mengekalkan tempatnya sendiri.

"Dia sangat mudah dengan kami," kata Pellegrini kepada wartawan dalam sidang media menjelang pertembungan dengan England, Rabu ini.

"Dia tidak peduli kalau kami memanggilnya bos atau sesuatu yang lain. Dia sangat bercita-cita tinggi dan mempunyai keinginan untuk memperbaiki diri.

"Dia menimbulkan semangat Itali dan mahu membuat langkah seterusnya, bukan hanya daripada perspektif bola sepak.

"Ada banyak perkara yang tidak bergantung kepada kami atau jurulatih. Kami mesti melakukan apa yang jurulatih minta dalam usaha untuk meningkat.

"Kami perlu mengenali satu sama lain dengan lebih baik dan mewujudkan satu pasukan yang boleh meletakkan Itali kembali ke tempat yang sepatutnya. Itulah perkara utama," ujarnya.