Pengendali sementara skuad kebangsaan Itali, Luigi Di Biagio, menyifatkan pendapat Mino Raiola selepas Mario Balotelli tidak disenaraikan dalam skuad Azzurri adalah sesuatu yang tidak relevan.

Balotelli, yang kali terakhir mewakili skuad Itali ketika aksi Piala Dunia 2014, dijangka meraih perhatian Di Biagio selepas menjaringkan 14 gol dalam saingan Ligue 1 bersama Nice musim ini.

Bagaimanapun, pengurus berusia 46 tahun itu memilih untuk menyenaraikan penyerang muda AC Milan, Patrick Cutrone, dan anak kepada Enrico Chiesa, Federico Chiesa, menjelang aksi persahabatan bertemu Argentina dan England.

Itali gagal melayakkan diri ke Piala Dunia 2018 selepas dikejutkan dengan kekalahan di tangan Sweden ketika peringkat play-off, membuatkan Raiola yang juga merupakan ejen kepada Balotelli menyifatkan pasukan kebangsaan itu perlu dirombak.

Bagaimanapun, kritikan itu ditolak oleh Di Biagio, selepas mengambil-alih pasukan daripada skuad B-21 Itali.

"Balotelli telah melakukan tugas dengan baik bersama Nice tetapi saya perlu membuat keputusan.

"Saya mengenali Raiola selama 25 tahun tetapi apa yang diperkatakannya membuat saya berfikir bahawa ia tidak relevan," katanya.

Di Biagio yang merupakan bekas pemain AS Roma dan Inter Milan adalah salah seorang daripada tiga calon untuk menduduki kerusi panas Itali secara tetap, bersama-sama Antonio Conte dan Roberto Mancini.

Pengendali berusia 46 tahun itu akan mengambil-alih skuad Azzurri buat pertama kali apabila menentang Argentina di Stadium Etihad, England.

"Buat masa sekarang, saya tidak risau tetapi esok mungkin saya akan sedikit gemuruh. Terlalu banyak perkara yang perlu dilakukan sehingga tidak sedar apa yang berlaku," ujarnya.