Pengurus, Peter Bosz, mengakui tiada alasan berhubung kekalahan mengejut Bayer Leverkusen dalam DFB-Pokal di tangan Rot-Weiss Essen, dengan menyatakan: "Kami tidak patut kalah di sini."

Selepas juara bertahan, Bayern Munich, menjadi mangsa Holstein Kiel dalam pusingan terdahulu, Essen menghasilkan satu lagi kejutan apabila menyingkirkan jaguh Bundesliga itu menerusi kemenangan 2-1 selepas masa tambahan, awal pagi tadi,

Gol pertama perlawanan itu hanya menjelma pada minit ke-105 menerusi rembatan leret Leon Bailey untuk mengetepikan dominasi Leverkusen -- yang melancarkan 27 percubaan selain menguasai 69.2 peratus perlawanan.

Bagaimanapun, kelebihan itu tidak bertahan lama apabila tuan rumah kembali mengimbangi permainan hasil sentuhan pemusnah Oguzhan Kefkir dan ketika penentuan sepakan penalti mula terbayang, Simon Engelmann berjaya menggegar jaring Leverkusen untuk gol kemenangan ketika tiga minit menuju tamat perlawanan.

Kejayaan itu menyaksikan buat musim kedua pasukan daripada divisyen keempat Jerman berjaya mara ke suku akhir.

Sehubungan itu, pengurus tersebut memuji pelawat sambil mengkritik pemainnya sendiri kerana gagal menguasai permainan selepas mendahului.




"Kami menentang sebuah pasukan yang bagus, kami harus mengakuinya. Tetapi kami tidak boleh tumpas di sini," kata Bosz kepada Sky Sports Jerman.

"Kami memiliki peluang terutama dalam separuh masa kedua. Peluangnya ada. Kemudian kami mendahului dalam masa tambahan dan dapat memperagakan corak permainan sendiri. Tetapi kami melepaskan kelebihan yang ada. Itulah kesilapan kami.

"Kami adalah wakil Bundesliga dan kami tidak sepatutnya kalah di sini. Tidak sama sekali."

Ini adalah kali keenam juara 1953 itu layak sejauh ini di sebalik ini adalah pembabitan pertama mereka dalam DFB-Pokal sejak musim 1993-94.

"Tiada skrip yang lebih baik untuk permainan seperti ini. Kami sangat bangga dengan pemain-pemain," kata pengurus Essen, Christian Neidhart, menurut Kicker.

Teg