DORTMUND 5 HOLSTEIN KIEL 0

Pengarah Sukan Borussia Dortmund, Michael Zorc, mengesahkan Jadon Sancho mempunyai "perjanjian tidak formal" mengenai perpindahannya tetapi ia sebaliknya terhadap Erling Haaland.


Sancho kerap dikaitkan dengan kelab gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester United, pada awal musim ini sementara seteru dari Meyseyside, Liverpool, turut mengidamkan sentuhan berbisa penyerang Dortmund itu.

Pasukan elit Eropah -- termasuk Real Madrid, Manchester City, Barcelona, ​​United, Liverpool, Chelsea dan Paris Saint-Germain (PSG) -- dilaporkan turut berbaris demi menagih khidmat Haaland, yang perlu menunggu musim depan bagi mengaktifkan klausa pelepasannya.

Zorc tampil membincangkan masa depan duo Dortmund itu yang menjadi rebutan kelab gergasi.





"Kami mempunyai perjanjian tidak rasmi dengan Jadon tahun lalu bahawa dia hanya akan dibenarkan berpindah dalam keadaan tertentu," kata Zorc kepada ARD.

"Dia telah bersama kami selama beberapa tahun. Namun, perjanjian seperti ini tidak membabitkan Erling."

Berkenaan percubaan United untuk mendapatkan Sancho pada awal 2020-21, Zorc mendedahkan: "Pada akhirnya, syarat yang ditetapkan kami gagal dipenuhi."

Sancho menyumbangkan dua bantuan gol ketika Dortmund menamatkan pengembaraan kelab divisyen kedua, Holstein Kiel, 5-0 dalam separuh akhir DFB-Pokal awal pagi tadi.

Dortmund muncul pasukan pertama dalam sejarah DFB-Pokal yang meledak lima gol dalam babak pertama separuh akhir, sementara mereka juga merupakan pasukan pertama yang mencapai final kelapan berturut-turut.