Pemain sayap Sepanyol, Gerard Deulofeu, tidak mahu ketidakpastian mengenai perpindahan seterusnya di peringkat kelab menjejaskan prestasi dalam kariernya.

Deulofeu mendapati dirinya tidak digunakan dalam kesebelasan utama di Everton tetapi menukar musimnya dengan berpindah ke AC Milan sebagai pemain pinjaman pada Januari lalu.

Pemain berusia 23 tahun itu, yang menjaringkan empat gol dan membuat tiga bantuan gol dalam 17 penampilan Serie A, meraih panggilan semula ke skuad Sepanyol.

Ia ditandai dengan satu gol selepas memenangi penalti untuk jaringan pembukaan David Silva dalam kemenangan 2-0 ke atas Perancis di Paris, 29 Mac lalu.

Pengarah Sukan Barcelona, Robert Fernandez, yang memantau situasi tersebut, berkata kelab gergasi LaLiga itu sedang mempertimbang untuk membeli semula Deulofeu tetapi pemain itu menegaskan dia akan terus memberi tumpuan di atas padang -- dengan menganggap ia bukan keutamaannya.

"Mungkin kadang-kadang saya fikir terlalu banyak mengenai masa depan," katanya dalam sidang media menjelang perlawanan persahabatan Sepanyol menentang Colombia, 8 Jun ini, sebelum aksi kelayakan Piala Dunia di Macedonia pada 12 Jun.

"Saya berada dalam tempoh yang sangat baik dalam bola sepak dan dalam soal peribadi, saya tenang. Kini saya perlu fikir tentang pasukan kebangsaan dan kemudian saya perlu memilih pilihan yang terbaik.

"Ia akan menjadi musim panas yang sibuk tetapi saya tenang dan pasti semuanya akan berjalan lancar.

"Saya melalui tempoh yang baik. Biar saya menikmatinya, masa depan saya akan diputuskan."

Dalam aksi kelayakan untuk Piala Dunia Rusia 2018, Sepanyol menjadi pasukan pilihan menentang Macedonia, dan Deulofeu berkata: "Bola itu bulat. Kami perlu profesional, kami perlu terus berlatih.

"Kami dalam pasukan kebangsaan dan kami perlu memberi persembahan yang baik. Tiga mata digunakan untuk kelayakan dan ia sama bernilai seperti dalam mana-mana perlawanan lain."