Ketua pasukan Mexico, Andres Guardado, tidak terlintas cara yang lebih baik untuk negaranya menamatkan badi pusingan 16 Piala Dunia di Russia ketika menentang juara lima kali, Brazil.

Kedua-dua pasukan akan berentap di Samara malam esok, dengan Mexico mengintai untuk mengatasi "sumpahan perlawanan kelima" -- rekod yang sudah berlarutan sejak 24 tahun lalu.

Sejak enam edisi lalu, El Tri disingkirkan dalam pusingan kedua dan paling menyakitkan ketika menentang Belanda empat tahun lalu yang menyaksikan mereka gagal mempertahankan pendahuluan 2-1 ketika perlawanan berbaki dua minit.

Sebaliknya, Brazil mara sekurang-kurangnya ke suku akhir dalam enam penampilan terakhir, beraksi di tiga pentas final dan memenangi dua daripadanya.

Brazil merupakan pilihan untuk memenangi Piala Dunia buat kali keenam, begitupun Guardado mengatakan jangkaan tinggi yang digalas Selecao hanya akan membuat kemenangan mereka nanti lebih manis.

"Kami tidak akan mempunyai sebarang alasan seperti ini," kata Guardado. "Sekiranya kami berjaya, ini kerana kami telah melakukan perkara yang sangat baik.

"Sekiranya kami menamatkan saingan peringkat kumpulan di tangga pertama dan apabila kami mengalahkan Switzerland, maka orang akan berkata, 'Oh, itu hanyalah Switzerland.' Itulah budaya kami (di Mexico).

"Oleh itu, kami menghadapi situasi sempurna untuk menentang Brazil, juara lima kali dan ia adalah satu senario yang hebat. Kami sangat teruja dengan peluang ini. Tiada situasi yang lebih baik dan diharapkan kami dapat memanfaatkan peluang ini," tambahnya.

Dalam sidang media itu juga, Guardado menyifatkan bintang Brazil, Neymar, sebagai pemain "gemar membesar-besarkan kekasaran dan berguling di atas padang", namun Casemiro menegaskan rakan sepasukannya itu mampu mengatasi sebarang tekanan atau kritikan yang ditujukan terhadapnya.

"Dia membuat perbezaan," kata pemain tengah Real Madrid itu. "Dalam perlawanan pertama, semua pemain menampilkan aksi biasa tetapi dia membuktikan kelincahan ketika berdepan Serbia, dia menampilkan aksi hebat.

"Dia tahu bagaimana untuk mengendalikannya. Itulah sebabnya dia Neymar, pemain hebat di Brazil.

"Dia menjadi bintang dalam tempoh yang lama, dia tahu bagaimana untuk mengendalikan kritikan. Jika Neymar tidak bermain dengan baik, dia akan dikritik dan sekiranya beraksi dengan baik, maka dia disanjung sebagai yang terbaik di dunia," ujarnya.

Mexico, yang kalah 0-3 kepada Sweden dalam aksi terakhir Kumpulan F, akan turun tanpa pemain tengah, Hector Moreno, akibat penggantungan.

Sementara itu, juara Kumpulan E, Brazil, mempunyai kebimbangan mengenai Marcelo ekoran masalah belakang badan yang menyebabkan dia meninggalkan padang selepas 10 minit permainan menentang Serbia.

PEMAIN TUMPUAN:

Brazil: Paulinho


Mexico mungkin memberi tumpuan kepada Neymar dan Philippe Coutinho. Bagaimanapun, Mexico juga tidak akan menidakkan keupayaan Paulinho yang muncul tepat pada masanya ketika membenam Serbia untuk gol kelapannya sepanjang menyarung jersi negara sejak Tite mengambil alih sebagai jurulatih.

Mexico: Javier Hernandez

Setakat ini, penyerang West Ham ini kurang menyerlah di Russia susulan sekadar sempat membuat satu percubaan tepat dalam tiga aksi peringkat kumpulan. Namun, percubaan tunggal itu menghasilkan jaringan ketika menentang Korea Selatan. Ia menjadi bukti bahawa dia tetap merupakan ancaman di dalam kawasan penalti.