PERANCIS 3 ENGLAND 2

Didier Deschamps memuji skuad Perancis kerana pulih daripada "senario bencana" selepas Raphael Varane menerima kad merah untuk memenangi perlawanan persahabatan menentang England 3-2 di Paris, awal pagi tadi.


Skuad Les Bleus mengalami kekalahan 2-1 kepada Sweden dalam kelayakan Piala Dunia pada hujung minggu lalu hasil kesilapan yang jarang daripada Hugo Lloris di Stockholm, tetapi bangkit di gelanggang sendiri menentang pasukan Gareth Southgate itu.

Jaringan pembukaan Harry Kane dibalas dengan gol Samuel Umtiti dan Djibril Sidibe, bagaimanapun kapten England itu menyempurnakan penalti yang hadir selepas Varane diusir keluar kerana menjatuhkan Dele Alli berikutan penggunaan Sistem Video Pembantu Pengadil (VAR).

Ousmane Dembele akhirnya memastikan Perancis muncul pemenang di Stade de France dan Deschamps gembira dengan keazaman yang ditunjukkan oleh pasukannya.

"Ia sentiasa baik (menamatkan musim dengan kemenangan), terutama selepas kekalahan -- walaupun jika terdapat satu senario bencana bagi kami (dengan kad merah)," katanya kepada Telefoot.

"Kami bermain dengan 10 orang, jadi pujian kepada pemain kerana mengatasi pasukan England yang bagus.

"Saya kecewa dengan keputusan (menentang Sweden) dan ia berlaku. Saya membuat pilihan, ia tidak semua sama dalam konteks seperti di sini -- ia adalah satu perlawanan kelayakan, di sini adalah perlawanan persahabatan, pasukan berbeza.

"Pemain yang berpeluang bermain hari ini juga mempunyai banyak kualiti. Kami kurang bertenaga (menentang Sweden). Hari ini, kami banyak berlari."

Perancis akan kembali beraksi pada 31 Ogos bertemu Belanda yang satu tangga dan tiga mata di belakang skuad Deschamps dalam Kumpulan A kelayakan Piala Dunia zon Eropah.