Ketua jurulatih Perancis, Didier Deschamps, berharap penyerang Monaco, Kylian Mbappe, mengikut jejak langkah Thierry Henry selepas memilih pemain berusia 18 tahun itu menyertai Les Bleus.

Mbappe mempamerkan prestasi memberangsangkan dan menjadi kunci kejayaan Monaco ketika menewaskan Manchester City dalam saingan Liga Juara-Juara (UCL).

Dia sering dibandingkan dengan Henry kerana memiliki gaya permainan yang sama dan Deschamps berharap pemain berbakat itu akan memiliki masa depan yang sama sepertinya.

"Saya berharap Mbappe mempunyai karier yang sama seperti Thierry Henry," kata Deschamps.

"Dia telah membuktikan kebolehannya sejak beberapa bulan ini, dia seorang pemain yang berkualiti. Dia seorang pemain muda dan berbakat.

Perancis akan bertemu Luxembourg dalam aksi kelayakan Piala Dunia, sebelum menerima kunjungan Sepanyol bagi aksi persahabatan 28 Mac nanti.