Didier Deschamps berkata kekecewaan Antoine Griezmann kerana diabaikan sebagai kapten Perancis untuk Kylian Mbappe hanya 'bertahan dua minit'.

Lebih tepat, ia sebenarnya mengambil masa kurang daripada dua minit untuk Mbappe memberikan bantuan jaringan kepada Griezmann bagi membolehkan Perancis menang 4-0 menentang Belanda awal pagi tadi untuk memulakan kempen kelayakan Euro 2024 dengan penuh bergaya di Stade de France.

Deschamps telah mengumumkan Mbappe -- yang juga menjaringkan dua gol selepas Dayot Upamecano turut bertindak sebagai penjaring -- sebagai kapten baharunya mendahului Griezmann, tetapi berkata pada sidang media selepas perlawanan bahawa tiada isu antara kedua-dua pemain tersebut.

"Nasib baik saya tidak tahu apa yang diperkatakan dan ditulis. Kedua-duanya serasi, mereka bekerja dengan baik dan mereka mempunyai objektif yang sama untuk melihat pasukan Perancis beraksi dengan baik," katanya.

"Kekecewaan Antoine berlarutan selama dua minit. Tidak ada masalah sedikit pun, seperti keseluruhan kumpulan. Semua orang memberikan aura positif."