Memphis Depay yakin dia dapat membentuk keseimbangan bersama Lionel Messi dan pemain baru, Sergio Aguero, di Barcelona.

Penyerang Belanda, Depay, menyertai Barca sebagai ejen bebas apabila kontrak bersama Lyon berakhir 1 Julai lalu dan menjaringkan penalti dalam penampilan sulung ketika menang 3-1 ke atas Girona.

Pemain berusia 27 tahun itu mendapatkan semula rentak dalam kariernya selepas gagal menyerlah bersama Manchester United, menjaringkan 76 gol dalam 178 penampilan untuk kelab Ligue 1 itu.

Depay kerap turun sebagai penyerang tengah dan menjaringkan 20 gol -- hanya bintang Paris Saint-Germain, Kylian Mbappe (27) menjaringkan lebih gol.

Dia turun mempamerkan kebolehan menghasilkan peluang buat pemain lain apabila merekodkan 12 assist dan menghasilkan 94 peluang, lebih daripada mana-mana pemain dalam saingan Ligue 1 dalam musim 2020-21.

Bekas produk akademi PSV itu percaya dia mampu beraksi bersama bekas penyerang Manchester City, Aguero dan Messi, yang dijangka menandatangani kontrak baru untuk kekal di Camp Nou.

"Kami semua penyerang, tetapi kami semua berbeza pada pendapat saya," kata Depay. "Saya mempunyai kebolehan dan kekuatan yang berbeza daripada Aguero, misalnya, atau pemain lain.

"Saya fikir kami bertiga serasi dan berbeza. Tetapi kami akan melihat bagaimana semuanya berjalan.

"Sangat mengagumkan untuk bermain dengan Messi dan saya harap dapat melakukannya. Dia mempunyai beberapa kualiti yang diperlukan pasukan dan penting untuk membangun segala sesuatu di sekitarnya.

"Ada banyak bakat di sini. Sangat bagus untuk bermain di sampingnya dan memenangi gelaran."