Pemain baru Barcelona, Memphis Depay, menikmati peluang untuk bergandingan bersama Lionel Messi, yang dia percaya menunjukkan dalam Copa America mengapa dia masih pemain terbaik dunia.

Pemain kebangsaan Belanda, Depay, berhijrah ke Barca sebagai ejen bebas selepas kontrak bersama Lyon berakhir 1 Julai lalu dan secara rasmi diperkenalkan di Nou Camp semalam.

Ketika pemain berusia 27 tahun itu teruja untuk memulakan perjalanan baru bersama Barca, masa depan legenda kelab, Messi, masih lagi samar apabila belum menandatangani kontrak baru dan kini bergelar ejen bebas.

Tetapi pemenang Ballon d'Or enam kali itu dilaporkan bersetuju dengan kontrak jangka masa panjang bersama gergasi Sepanyol yang meyaksikan dia akan kekal bersama kelab sehingga 2026.

Messi ketika ini melanjutkan tempoh rehat selepas menginspirasikan Argentina untuk menjuarai Copa America pertama sejak 1993.

Dia merekodkan empat gol dan lima assist untuk meraih Kasut Emas dan gelaran pertama di pentas antarabangsa.

Depay berharap Messi segera menandatangani kontrak baru sehingga dia dapat memenuhi impian bermain bersama bintang itu.

"Dia adalah legenda dan pemain terbaik di dunia," kata Depay. "Anda melihat apa yang dia lakukan dalam Copa America?

"Saya benar-benar mahu bermain dengan Leo. Kualitinya tidak dapat disangkal. Selama saya membuat larian, saya tahu bola akan datang kepada saya. Saya salah seorang peminatnya."