Pengarah Sukan Lyon, Juninho, mengkritik bintang yang sedang dikaitkan dengan Barcelona, Memphis Depay, kerana mahu kelab Ligue 1 berkenaan melayaninya seperti Lionel Messi, Cristiano Ronaldo, Neymar dan Kylian Mbappe.

Depay akan meninggalkan Lyon secara perpindahan percuma menjelang musim depan dan dan pasukan gergasi LaLiga, Barcelona -- diketuai oleh bekas ketua jurulatih Belanda, Ronald Koeman -- hampir pasti akan menandatangani penyerang berkenaan.

Pemain berusia 27 tahun itu, yang tiba daripada Manchester United pada 2017, telah mempamerkan peningkatan apabila terlibat dengan 32 gol Ligue 1 musim ini (20 gol dan 12 bantuan jaringan) -- menyamai rekod terbaiknya dalam satu musim bersama pasukan Perancis itu (19 gol dan 13 bantuan jaringan musim 2017-18).

Hanya bintang Paris Saint-Germain (PSG), Mbappe, menjaringkan lebih banyak gol (27) berbanding Depay dalam Ligue 1 musim ini tetapi Juninho ada pesanan keras buat kapten yang akan meninggalkan Lyon itu.

"Memphis Depay hanya mahukan satu pasukan untuk dirinya sendiri," kata Juninho kepada OLTV.

"Ia bukan satu kritikan, saya mempunyai hubungan baik dengannya.

"Tetapi sebaliknya, seluruh pasukan perlu berubah untuknya dan itu amat sukar. Setiap orang perlu berasakan yang mereka bekerja secara setara.

"Hanya ada empat pemain di dunia yang anda perlu melakukan segala-galanya buat mereka: Messi, Ronaldo, Neymar dan Mbappe.

"Jika anda memiliki salah seorang daripada meereka, kemudian barulah seluruh pasukan berubah untuk mereka.

"Maaf, saya fikir Depay seorang yang kuat tetapi dia tidak berada di tahap itu.

"Dan saya fikir dia perlu bekerja lebih keras dalam gerakan tanpa bola," katanya.