Persatuan Bolasepak (FA) Denmark melaporkan kepada polis mengenai ugutan bunuh yang diterima Nicolai Jorgensen selepas penyerang itu menjadi mangsa buli di media sosial berikutan penyingkiran mereka daripada Piala Dunia.

Jorgensen merupakan salah seorang daripada tiga pemain Denmark yang gagal menyempurnakan sepakan dalam penentuan penalti dengan Croatia.

Selepas tonggak Feyenoord itu gagal melaksanakan tendangan kelima pasukannya, Ivan Rakitic mengambil peluang keemasan itu untuk memastikan tempat Croatia di peringkat suku akhir di Russia, semalam.

Jorgensen pula dikecam hebat di Facebook dan Instagram peribadinya selepas perlawanan itu berakhir sehingga mendorong badan induk Denmark itu mengambil tindakan untuk "menamatkan kegilaan tersebut".

"Hentikan! Kita tidak boleh menerima ugutan bunuh -- bukan terhadap bintang Piala Dunia, ahli politik mahupun orang lain. Ini sesuatu yang tidak boleh diterima dan tidak beradab," tulis FA Denmark dalam satu kenyataan di Twitter.

"Kami sudah melaporkan perkara ini kepada polis untuk menamatkan kegilaan ini."

Christian Eriksen dan Lasse Schone merupakan dua lagi pemain yang gagal membuat sepakan terbaik untuk Denmark dalam penentuan penalti selepas aksi pusingan 16 berkenaan berakhir 1-1 selepas masa tambahan di Stadium Nizhny Novgorod.