Penjaga gol Denmark, Kasper Schmeichel, menegaskan nilai kekeluargaan sangat penting dalam skuad selepas mereka menanggung kos pulang lebih awal buat Jonas Knudsen bagi menyambut kelahiran cahaya matanya.

Pertahanan Ipswich Town itu memanaskan bangku simpanan sewaktu aksi Kumpulan C menentang Peru, Sabtu lalu, menyaksikan pasukannya menang 1-0 hasil jaringan Yussuf Poulsen.

Sebaik sahaja perkhabaran tentang bayi perempuan Knudsen yang lahir pramatang diketahui seluruh kem Denmark, ketua pasukan, Simon Kjaer, meminta pemain itu dibenarkan pulang lebih awal.

Walaupun barisan kejurulatihan pasukan tampak tidak begitu bersetuju dengan idea itu, semua pemain bertindak berkongsi wang untuk menanggung kos penerbangan pulang buat Knudsen.

"Kami adalah pemain bola sepak tetapi manusia biasa," kata Schmeichel.

"Saya juga seorang ayah dan tidak dapat dibayangkan bagaimana Knudsen menghadapinya apabila mengetahui tentang perkhabaran itu dari jauh. Kami mahu membantunya kerana terdapat ramai pemain bergelar bapa dalam skuad.

"Anda harus melihat lebih daripada sekadar bola sepak. Sebagai manusia biasa, kami mahu melakukan apa yang termampu bagi membolehkannya pulang dan melihat bayinya yang baru dilahirkan."

Dalam masa sama, Schmeichel turut memuji aksi Christian Eriksen selepas menjadi watak utama dalam membuka ruang buat Poulsen menghasilkan jaringan sewaktu berdepan Peru.

"Eriksen adalah pemain bertaraf dunia. Kami bertuah kerana dia adalah warga Denmark dan sangat gembira tentangnya.

"Dia sangat penting buat pasukan sejak daripada peringkat kelayakan, play off dan sehingga kini. Di luar padang, dia adalah individu yang bagus, sangat merendah diri.

"Eriksen adalah pemain yang menjadi penyumbang besar buat pasukan," tambahnya.