Bekas pemain antarabangsa Uruguay, Diego Lugano, percaya Brazil tidak pernah sebegitu kuat dan kekal menjadi pasukan kegemaran Piala Dunia, terutama selepas kemuculan semula Neymar.

Skuad bimbingan Tite itu masih belum mencapai prestasi terbaik di Russia tetapi kemenangan 2-0 ke atas Costa Rica, kelmarin, membawa mereka ke tangga teratas Kumpulan E.

Neymar, yang telah diketepikan selama tiga bulan akibat kecederaan kaki sebelum kejohanan itu bermula, mencatat nama selaku penjaring dalam kemenangan itu.

Lugano -- yang membuat penampilan sebanyak 95 kali bersama Uruguay -- berasakan Brazil berhak menjadi pasukan pilihan untuk memenangi kejohanan itu.

"Saya masih fikir bahawa Brazil, bersama dengan Sepanyol, adalah pasukan terkuat dalam Piala Dunia dan yang paling kukuh," katanya.

"Saya tidak pernah melihat skuad Brazil begitu kuat memasuki Piala Dunia, dengan ramai pemain.

"Taktikal mereka teratur, kuat secara fizikal dan mental. Tite telah melakukan tugas hebat dengan mereka.

"Saya masih fikir Brazil adalah pasukan pilihan untuk memenangi Piala Dunia ini, lebih-lebih lagi dengan Neymar kembali cergas sepenuhnya dan bermain semula."

Belum menjamin tempat dalam pusingan 16, Brazil akan menghadapi Serbia dalam perlawanan terakhir kumpulan pada Khamis ini.