Demiral terlepas baki musim kerana cedera ACL

Penulis Jemputan
Januari 14, 2020 00:15 MYT
Merih Demiral dijangka akan terlepas bagi saingan musim ini termasuk Euro 2020 selepas mengalami kecederaan anterior cruciate ligament (ACL) yang memerlukan pembedahan.
Pertahanan Juventus itu digantikan dengan Matthijs de Ligt selepas menjaringkan gol pada minit ketiga ketika menewaskan AS Roma 2-1 dalam Serie A awal pagi semalam.
Bagaimanapun, dia mengalami kecederaan ketika melakukan pendaratan dan terpaksa digantikan pada minit ke-19.
Pemain kebangsaan Turki berusia 21 tahun itu menyertai pasukan gergasi berkenaan daripada Sassuolo dengan perpindahan bernilai €18 juta (RM81.3 juta) pada Julai lalu dan berkemungkinan besar tidak dapat beraksi sehingga penghujung musim ini.
"Ketika perlawanan malam tadi, Merih Demiral dilanda kecederaan di lutut kirinya," kata Juve dalam satu kenyataan.
"Diagnostik yang dijalankan di J Medical pagi ini mendapati dia mengalami kecederaan anterior cruciate ligament termasuk kecederaan Meniscus.
"Pembedahan perlu dijalankan dalam beberapa hari ini."
Juve kini berkelebihan dua mata di depan Inter Milan untuk menerajui liga selepas 19 perlawanan.
Editor: Muzaffar Musa