Xavi mengulangi kekagumannya terhadap tahap profesionalisme Ousmane Dembele dan pengurus Barcelona itu mengesahkan rundingan mengenai kontrak baru pemain sayap tersebut sedang dijalankan.

Dembele diberitahu secara terbuka oleh ahli lembaga pengarah kelab agar meninggalkan Barca ketika jendela perpindahan Januari lalu selepas perbincangan lanjutan kontraknya buntu.

Perjanjian pemain antarabangsa Perancis itu akan berakhir hujung musim ini sekali gus boleh meninggalkan Camp Nou secara percuma.

Bagaimanapun, tanpa sebarang tawaran dari luar pada Januari lalu, Dembele terus kekal dalam perancangan Xavi dan bekas bintang Borussia Dortmund itu nampaknya telah menemui semula prestasi sebenarnya.

Dembele telah memulakan empat perlawanan terakhir LaLiga dengan menjana lima bantuan jaringan.

Pemain berusia 24 tahun itu turut menemui sentuhan penyudah apabila menyumbangkan dua gol sebagai pemain gantian dalam kemenangan 4-0 ke atas Athletic Bilbao, hujung Februari lalu.

Semalam, skuad Barca menikmati cuti sehari sebelum bertandang ke Jerman untuk pertemuan pertama suku akhir Liga Europa menentang Eintracht Frankfurt, Dembele sebaliknya dilihat menuju ke pusat latihan kelab LaLiga itu dengan laporan dia menjalani latihan fizikal tambahan.





"Cara dia berlatih, bermain, sikap dan komitmennya menjadi contoh," kata Xavi dalam sidang akhbar ketika ditanya mengenai Dembele.

"Saya tidak tahu bagaimana keadaannya sebelum ini tetapi saya tidak mempunyai sebarang rungutan. Saya sedang melihat seorang pemain yang sangat gembira, sangat bermotivasi dan seiring dengan keinginan untuk menang.

"Dia gembira dan selesa di sini jadi bukan satu kejutan apabila dia bertindak berlatih pada hari cutinya. Dia seorang yang amat profesional, saya akan tetap berkata begitu walaupun dia tidak beraksi."

Dembele mencipta tujuh peluang menarik dalam kemenangan Barca ke atas Sevilla, kelmarin, selain mencipta umpanan untuk gol Pedri dalam kemenangan 1-0 itu.

Awal minggu ini, Ketua Eksekutif Barca, Mateu Alemany, dilaporkan bertemu dengan ejen Dembele untuk mengadakan semula rundingan kontrak baru dan spekulasi ini disahkan oleh Xavi.

"Memang ada rundingan. Kami juga sedang berbincang dengan Ronald Araujo, Gavi, Sergi Roberto, ia melibatkan proses," katanya.