Pemain tengah Tottenham Hotspur, Mousa Dembele, menghargai perbandingannya dengan pemain terhebat sepanjang zaman, lantas menyemarakkan semangatnya untuk menghadiahkan trofi buat pengurus, Mauricio Pochettino.

Dembele, 30, dipuji oleh Pochettino, yang membandingkan pemain antarabangsa Belgium itu dengan Diego Maradona dan Ronaldinho.

Ketika pemain tengah itu menganggap pandangan jurulatihnya itu sesuatu yang bagus, dia berhasrat membalas budi Pochettino dengan terus menghasilkan persembahan hebat.

"Kami kerap berbincang, jadi ia bukan suatu perkara baru. Dia sering bercakap dengan saya dan memberikan saya keyakinan," kata Dembele melalui Telegraph.

"Dia menyebut perkara-perkara seperti ini kepada saya pada masa lalu. Sudah tentu dia memberikan saya keyakinan dan ia suatu perkara yang baik tetapi anda sentiasa mahu memenangi sesuatu, jadi ia tidak akan mengubah peranan saya.

"Ini satu perasaan yang menarik, semua orang suka dihargai tetapi masih banyak baki perlawanan yang perlu ditempuhi."

Spurs mara ke suku akhir Piala FA -- akan menghadapi Swansea City pada akhir bulan ini - selain masih kekal bersaing dalam Liga Juara-Juara (UCL).

Pasukan bimbingan Pochettino itu mencatat keputusan seri 2-2 di Juventus dalam pertemuan pertama pusingan 16, dan Spurs akan menjadi tuan rumah kepada gergasi Serie A itu awal pagi esok.

Dembele berkata pasukannya yang menduduki tempat keempat Liga Perdana Inggeris tidak perlu gentar dengan kelab terbesar Eropah.

"Sudah tentu, corak permainan kami dalam beberapa tahun lalu telah membuktikan kepada semua orang bahawa kami boleh bermain dengan baik ketika menentang pasukan besar," katanya.

"Ia tidak mengejutkan saya bahawa kami boleh bermain baik. UCL adalah saingan yang berbeza, apa-apa pun boleh berlaku dan kami mempunyai keyakinan tinggi.

"Menentang Juve, menentang (Real) Madrid: kami tidak takut kepada mereka tetapi kami perlu terus fokus ketika ini. Permainan seterusnya ialah menghadapi Juve dan kami boleh melakukan sesuatu."