Ousmane Dembele bakal menyertai Barcelona dari Borussia Dortmund dengan nilai perpindahan EURO105 juta (RM533 juta) selepas pemain kebangsaan Perancis itu bersetuju dengan kontrak selama lima musim.

Barca kehilangan khidmat bintang Brazil, Neymar yang menyertai Paris Saint-German (PSG) bulan ini dan Dembele dipilih untuk mengisi kekosongan tersebut

Pemain kebangsaan Perancis itu, yang akan mengambil alih nombor 11 yang dipakai oleh Neymar, memiliki kontrak yang bakal berakhir pada 2022 serta klausa perpindahan yang bernilai EURO400 juta (RM2 bilion).

Pemain tengah Liverpool, Philippe Coutinho, juga telah menarik minat Barca, dengan pengendali The Reds, Jurgen Klopp, menegaskan pasukannya tidak memiliki sebarang niat untuk menjual pemain tersebut.

Dembele telah digantung oleh Dortmund selepas tidak menghadiri sesi latihan pada bulan ini dan ia telah meningkatkan lagi spekulasi pemain itu sudah bersedia untuk berhijrah.