Ousmane Dembele beranggapan Lionel Messi adalah rakan sepasukan yang sempurna dalam serangan kerana sebilangan besar pertahanan lawan akan cuba untuk menghalangnya.

Legenda Argentina, Messi, dan penyerang Perancis, Dembele, berjaya mencapai persefahaman untuk musim kedua di Nou Camp, dengan berkongsi 43 gol di antara kedua-dua pemain itu dalam semua kejohanan.

Bekas pemain Borussia Dortmund itu menutup ruang yang ditinggalkan Neymar, yang berhijrah ke Paris Saint-Germain (PSG), kerana mahu terlepas daripada bayang-bayang Messi.

Dembele yang sudah mula memahami corak permainan Barcelona, gembira kerana dapat bergandingan dengan pemenang Ballon d'Or lima kali itu.

"Messi menjadikan bermain bola sepak sangat mudah," kata Dembele.

"Saya memberikannya bola dan dia akan melakukan perkara yang menakjubkan. Apabila Messi berada dalam padang, ia memudahkan penyerang kerana lawan memberikan lebih tumpuan kepadanya."

Messi dan Dembele akan memainkan peranan penting ketika skuad Blaugrana itu bertandang ke Lyon untuk aksi pertama pusingan 16 Liga Juara-Juara (UCL) esok.

Skuad bimbingan Bruno Genesio itu mara ke pusingan seterusnya dengan rekod tanpa kalah di samping berjaya mengatasi pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester City, dan pendahulu Ligue 1, PSG, musim ini.

Bekas pemain sayap Rennes, Dembele, melaungkan amaran, "Mereka adalah pasukan yang dibarisi pemain-pemain berkualiti dan sukar untuk menang di sana.

"Mereka membuktikannya musim ini -- menang ke atas City dan PSG. Kami akan cuba memberikan tumpuan yang sebaik-baiknya dan tidak menganggap mudah perlawanan ini.

"Nabil Fekir -- digantung untuk perlawanan pertama -- adalah pemain terbaik Lyon, tetapi terdapat beberapa pemain yang memiliki kualiti tersendiri."

Barca kekal dalam saingan merangkul gelaran 'treble' dan Dembele berharap dia dan rakan sepasukan akan berusaha untuk memenangi setiap gelaran.

"Kami perlu fokus terhadap objektif ditetapkan. Kami mahu memenangi liga, UCL dan Copa del Rey."