Sokratis Papastathopoulos mengingatkan rakan sepasukan di Borussia Dortmund, Ousmane Dembele, bahawa tiada yang lebih utama daripada kelab sambil pemain pertahanan itu menuntut rakannya itu agar mencontohi Pierre-Emerick Aubameyang.

Dortmund menolak tawaran daripada Barcelona terhadap pemain Perancis berkenaan yang menjadi sasaran untuk menggantikan tempat Neymar.

Minggu lalu, kelab Bundesliga itu mengetepikan pemain berusia 20 tahun itu berikutan terlepas sesi latihan tanpa kebenaran dengan ketua jurulatih kelab, Peter Bosz, mendedahkan pemain itu tidak dapat dihubungi.

Penggantungan itu menyaksikan Dembele hanya menjadi penonton dalam kemenangan DFB-Pokal, 4-0, ke atas Rielasingen-Arlen yang menyaksikan Aubameyang mencetak hatrik dan seterusnya menjadi pemain asing paling prolifik dalam sejarah kelab itu.

Sokratis berkata, Dembele perlu mencontohi sikap Aubameyang yang sering dikaitkan dengan perpindahan.

"Ousmane seorang yang baik. Tetapi, dia harus faham tiada pemain yang lebih utama berbanding pasukan," katanya kepada Kicker.

"Semua orang harus sedar tentang kerjasama sepasukan, termasuklah Ousmane.

"Dia tidak boleh melakukan sesuka hatinya dan patut mengambil Pierre-Emerick Aubameyang sebagai contoh. Auba juga boleh membayangkan untuk pergi tetapi dia bersikap profesional dalam setiap sesi latihan dan memberikan aksi terbaik dalam setiap perlawanan.

"Dalam pusingan pertama DFB-Pokal, dia menjaringkan tiga gol, Ousmane pula tiada di sana.

"Mogok Ousmane tidak membawa sebarang manfaat. Dia sepatutnya tidak lupa dengan kontrak jangka panjangnya di Dortmund."

Ditanya sama ada Dembele patut kembali menyertai pasukan, Sokratis menambah: "Dia patut menghubungi kami dan kembali menyertai latihan. Kemudian kita akan lihat.

"Ousmane banyak memberikan sumbangan. Dia seorang pemain yang mampu membuat perbezaan. Kami perlukan pemain seperti ini.

"Begitupun, kami juga memerlukan pemain yang tidak meminggirkan diri mereka dan yang mahu menjadi sebahagian daripada keluarga ini. Jelas sekali Ousmane tidak mahukannya."