Ousmane Dembele berang selepas Pengarah Bola Sepak Barcelona, Mateu Alemany, mengarahkannya supaya mencari kelab baru dengan segera.
.
Pemain sayap Perancis itu bergelut di Camp Nou sejak menyertai Borussia Dortmund pada 2017.

Di sebalik rentetan kecederaan yang menghalang kemajuannya, pengurus Barca, Xavi, baru-baru ini tetap percaya Dembele mampu menjadi terbaik di dunia di posisinya itu.

Kontrak Dembele akan berakhir hujung musim ini, ini bermakna jendela perpindahan bulan ini mungkin peluang terakhir buat kelab mendapatkan kembali sebahagian wang daripada pelaburan mereka itu.

Barcelona tidak mahu kehilangan pembelian sebegitu mahal pergi dengan perpindahan percuma, jadi mereka berhasrat melanjutkan kontraknya, tetapi Alemany mendedahkan semua tawaran yang diberikan telah ditolak mentah-mentah oleh ejen pemain itu.

Alemany bercakap kepada Barca TV: "Nampaknya jelas bahawa pemain ini tidak mahu meneruskan kariernya di Barcelona dan tidak komited dengan projek masa depan kami."

Dakwaan itu telah menimbulkan kemarahan Dembele, dengan Alemany menambah: "Kami memberitahu dia dan ejennya agar meninggalkan kelab ini dengan segera kerana kami mahukan pemain yang komited dengan projek ini. Kami menjangkakan perpindahan akan dilakukan sebelum 31 Januari."


A post shared by Believe (@o.dembele7)



Dembele telah dikaitkan dengan beberapa kelab termasuk Liverpool, Paris Saint-Germain dan Newcastle.

Menjawab pendirian majikannya itu, pemain berusia 24 tahun itu mengeluarkan kenyataan panjang di Instagram dengan mengatakan dia tidak akan tunduk kepada sebarang ugutan.

Ini kerana dia telah bersabar selama empat tahun ini dengan membaca pembohongan tentang dirinya dengan mengisytiharkan bahawa dakwaan itu telah dibuat "dengan tujuan semata-mata untuk mencederakan saya".

Dia mengakui silap kerana tidak bersuara lebih awal.

“Mulai hari ini, saya akan menjawab dengan ikhlas dan tanpa mengalah kepada sebarang bentuk ugutan,” tulis Dembele.

"Saya berumur 24 tahun dan seperti manusia yang lain, saya membuat kesilapan, tidak sempurna. Saya melalui detik-detik sukar, kecederaan, saya juga terjejas dengan COVID-19. Tanpa sebarang latihan, jurulatih tetap memanggil saya dan saya sentiasa menyahutnya... tanpa bersungut.

"Saya menghargai peluang untuk melaksanakan tugasan terbaik di dunia ini. Saya mahu menambah dan mesej saya adalah jelas. Saya melarang sesiapa daripada berpura-pura bahawa saya tidak terlibat dalam projek ini. Saya melarang sesiapa pun daripada mengaitkan dengan keinginan yang tidak pernah wujud. Saya melarang sesiapa daripada bercakap di tempat saya atau menggantikan ejen saya dan saya menaruh keyakinan penuh kepadanya.

"Saya masih di bawah kontrak, saya masih mengambil berat terhadap kelab ini dan jurulatih saya. Saya sentiasa memberikan yang terbaik untuk rakan sepasukan dan juga penyokong. Ia akan tetap begitu."

Xavi juga telah memberitahu Dembele agar membuat pilihan dan pemain yang dipancing untuk mengambil tempat Neymar itu mungkin telah menyarung jersi Barcelona buat kali terakhir apabila diketepikan daripada skuad untuk perlawanan pusingan 16 Copa del Rey dengan Athletic Bilbao, awal pagi tadi.

“Saya bukan penipu, lebih-lebih untuk mengalah kepada pemeras ugut,” tambahnya.

"Seperti yang anda tahu, rundingan masih berjalan. Saya biarkan ejen yang uruskannya, itu bidang dia. Bidang saya adalah bola sepak, sekadar bermain, berkongsi detik-detik kegembiraan dengan rakan sepasukan saya, dengan penyokong kami. Yang penting, mari kita fokus kepada perkara penting: MENANG."