Penyerang veteran, Jermain Defoe, berjaya menarik perhatian pengendali England, Gareth Southgate, untuk membawanya kembali beraksi di peringkat antarabangsa selepas tiga setengah tahun disisihkan.

Defoe membuat penampilan terakhir pada 2013, namun penyerang Sunderland itu dipilih Southgate untuk perlawanan akan datang berdepan Jerman dan Lithuania kerana beberapa pemain utama seperti Wayne Rooney, Harry Kane dan Daniel Sturridge mengalami kecederaan.

Kane merupakan satu-satunya pemain England yang menjaringkan lebih banyak gol dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) daripada Defoe dan pemain berusia 34 tahun itu amat teruja untuk kembali menyarung jersi The Three Lions.

Penyerang Leicester City, Jamie Vardy dan Marcus Rashford dari Manchester United adalah antara penyerang lain yang dipilih menyertai skuad Southgate manakala Theo Walcott diketepikan.