Pertahanan, Mathieu Debuchy, kecewa prestasi mengagumkannya bersama Saint-Etienne gagal menempatkannya kembali ke pangkuan skuad Perancis.

Bekas bek kanan Arsenal itu menemui sentuhan terbaiknya sejak kembali ke Perancis, termasuk memenangi Anugerah Pemain Terbaik Ligue 1 edisi Februari dengan mengetepikan bintang Paris Saint-Germain (PSG), Neymar, dan penjaga gol Montpellier, Benjamin Lecomte.

Bercakap selepas kemenangan 2-0 ke atas Guingamp, Debuchy meluahkan kekecewaan kerana jurulatih pasukan kebangsaan, Didier Deschamps, tidak memilihnya untuk aksi persahabatan menentang Colombia dan Russia.

Dia berkata: "Ya, sedikit kecewa. Saya mahu kembali dan sudah lama tidak dipanggil."

Debuchy meninggalkan Arsenal lalu berhijrah ke kancah Ligue 1 dalam usahanya merebut semula tempat dalam skuad Perancis yang akan ke Piala Dunia Russia, musim panas ini.

Meskipun tidak dapat menyembunyikan kekecewaannya, pemain berusia 32 tahun itu menegaskan fokusnya adalah meneruskan prestasi baik di peringkat kelab.

"Ketika ini, perkara paling penting ialah beraksi baik dengan Saint-Etienne, meraih kemenangan dan menikmati permainan.

"Saya akan memberi tumpuan kepada Saint-Etienne dan kita akan lihat apa yang berlaku," ujarnya.