Daniele De Rossi kini sah menyertai barisan kejurulatihan Roberto Mancini di Itali.

Bekas kapten berusia 37 tahun itu, yang pernah melakukan 117 penampilan buat Azzuri dan memenangi Piala dunia 2006, kini menjadi sebahagian daripada jurulatih teknikal pasukan kebangsaan itu.

De Rossi mengumumkan persaraannya pada Januari tahun lalu selepas tempoh singkat bersama Boca Juniors di Agentina dan merekodkan 616 penampilan sepanjang karier gemilangnya bersama Roma.

"Saya berbangga untuk memulakan karier baru ini bersama pasukan kebangsaan dan saya berterima kasih kepada presiden, (Gabriele) Gravana, dan jurulatih, Mancini, kerana mempercayai dan memberikan saya peluang ini," kata De Rossi dalam laman web rasmi Persatuan Bolasepak Itali (FIGC).

"Amat mengujakan untuk kembali ke Coverciano, di mana ia seperti pulang ke rumah buat saya dan bertemu dengan ramai bekas rakan sepasukan dan rakan-rakan di barisan kejurulatihan dan pasukan ini. Saya tidak sabar untuk memulakannya."

Mancini, yang mengetuai barisan kejurulatihan itu sejak 2018, mengalu-alukan kehadiran Rossi dalam pasukannnya.

"Saya amat gembira apabila Daniele menyertai pasukan ini.

"Saya pasti dia dapat memberikan pemain kami sumbangan penting dan saya harap pengalaman pertamanya ini akan berguna untuk masa depannya," katanya.