'Tiada istilah tempat mudah', tegas jurulatih negara, Tan Cheng Hoe, merujuk kepada kelibat pemain naturalisasi ketiga, Guilherme De Paula, yang akan berada dalam senarai kem latihan Mac ini.

Cheng Hoe menganggap perkembangan terkini melibatkan De Paula sebagai suntikan semangat sebelum perebutan slot ke Piala Asia kembali bersambung Jun depan.

Namun ia bukan jaminan De Paula bakal mengisi kesebelasan utama sedia ada.

Malah Cheng hoe melihat pemain kelahiran Brazil itu memerlukan masa untuk diserap ke dalam pasukan walaupun namanya berada dalam senarai pemain yang akan dipanggil ke kem latihan bulan ini.

"De Paula bukan jaminan kesebelasan utama namun melihat kepada rekod jaringannya, dia memiliki potensi untuk disenaraikan dan dia perlu bekerja keras dan bermain sebagai sepasukan jika dipanggil ke dalam skuad kebangsaan," kata Cheng Hoe.

Cheng Hoe mendedahkan dia ada bertemu dengan De Paula sebelum ini, dan keterujaan pemain itu untuk menyarung jersi negara amat ketara.

"Saya menasihatkan supaya tidak terlalu tertekan dengan jangkaan yang tinggi. Dia merupakan seorang yang memiliki kualiti penyudah yang baik dan merupakan kelebihan bagi pasukan kebangsaan."