Ronald Koeman percaya benteng utama Belanda, Virgil Van Dijk dan Matthijs De Ligt, mampu mengekang Cristiano Ronaldo apabila mereka turun berdepan Portugal dalam aksi final Liga Negara-Negara UEFA awal pagi esok.

Tuan rumah, Portugal, menempah tiket ke Estadio Do Dragao setelah menewaskan Switzerland 3-1, Rabu lalu hasil jaringan hatrik Ronaldo yang menjadikan jumlah 53 hatrik buat penggempur Juventus itu dalam karier profesionalnya.

Van Dijk membawakan elemen ketenangan sewaktu Belanda melakukan kesilapan ketika menentang England sebelum diakhiri dengan keputusan 4-1.

De Ligt menghadiahkan sepakan penalti buat England untuk memberikan lawan jaringan pembukaan tetapi dia bangkit menerusi tandukan untuk menyamakan kedudukan.

Bintang muda Ajax itu menyinar sewaktu berdepan kelab Ronaldo, Juventus, dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah tahun ini dan tatkala perhatian lebih terarah kepada Van Dijk serta pemenang lima kali Ballon d'Or itu, Koeman menegaskan dua pertahanannya sudah bersedia untuk menghadapi cabaran.

"Kami beraksi dalam aksi persahabatan menentang Switzerland sebelum ini dan De Ligt juga pernah mengekang Ronaldo," katanya.

"Bukan Van Dijk sahaja yang akan menyekat Ronaldo.

"Namun, Ronaldo cukup bagus untuk berdepan pertahanan hebat. Inilah keistimewaan dalam bola sepak. Anda tidak boleh melakukan apa-apa kerana kualiti berada di tahap tinggi."

Sementara itu, pemain tengah Belanda, Georginio Wijnaldum, tidak sabar untuk turun beraksi dan meraih kemenangan dalam salah satu aksi hebat.

"Saya gembira kami akan menentangnya," tambah pemain tengah Liverpool itu.

"Kami meneruskan kemaraan untuk aksi berdepan Ronaldo tetapi ia bukan mengenainya sahaja. Dia memainkan peranan besar dalam pasukan dan itu sukar dihalang.

"Mereka memiliki lebih ramai pemain yang mampu memberikan perbezaan. Sebagai satu pasukan, kami perlu menjalankan tugas dengan baik untuk menghalang mereka."