Ronald Koeman percaya Matthijs de Ligt bermain bukan dalam posisinya di Juventus dan berpandangan dia mengharungi penampilan sulung yang sukar bersama gergasi Itali itu.

Pemain berusia 20 tahun itu dikritik hebat menerusi persembahannya ketika Juve merakamkan kemenangan 4-3 ke atas Napoli di Stadium Allianz, Sabtu lalu.

Pemain kebangsaan Belanda itu, yang menyertai Juve dengan yuran perpindahan EURO75 juta (RM347 juta) daripada Ajax, Julai lalu, beraksi bersama-sama Leonardo Bonucci selepas Giorgio Chiellini mengalami kecederaan lutut.

Pengendali skuad Belanda, Koeman, mendedahkan De Ligt gagal mempamerkan permainan terbaiknya.

"Apa yang mengejutkan? Terdapat persoalan mengapa dia tidak turun beraksi dalam perlawanan pertama. Kemudian dia turun kerana pertahanan lain diketepikan disebabkan mengalami kecederaan," katanya.

"Dia tidak bermain dengan baik. Dia menempuhi saat yang mengecewakan ketika Hirving Lozano meledak jaringan gol. Dua lagi gol agak berbeza. Ia menerusi sepakan percuma dan sukar bertahan dalam situasi tersebut."

Koeman mencadangkan De Ligt bergelut menyesuaikan diri selepas berhijrah daripada Ajax dan mungkin berada dalam posisi yang salah sepanjang permainan.

"Terdapat pemain yang boleh melakukan perubahan tanpa sebarang kesukaran. Saya masih lagi menyimpan mimpi buruk ketika perlawanan pertama saya bersama Barcelona. Kami tewas 2-0 dan semua orang mempersoalkan kehadiran saya.

"De Ligt hanya berusia 20 tahun dan saya tidak berasakan dia mampu bertindak di bahagian kiri. Saya akan menurunkan Bonucci di posisi itu kerana dia lebih berpengalaman."